7 Tips Self-Care Untuk Surirumah Kekal Tenang & Bahagia

Faradidi
Ditulis oleh -
0

Menjadi suri rumah sepenuh masa bukanlah pekerjaan yang mudah. Walaupun kita tidak “keluar bekerja”, tapi setiap hari penuh dengan rutin tanpa henti dari urus anak, masak, mengemas, basuh baju, lipat baju, berulang-ulang kali sampai tiada penghujung. Itu sangat melelahkan. Sampaikan tiada langsung masa untuk diri sendiri. Diri orang lain terurus, tapi kita tak terurus.


Tapi jangan lupa, kita pun manusia biasa. Kita juga perlukan rehat. Adakalanya kita perlu berhenti seketika dan tarik nafas sedalam-dalamnya. Bukan bermakna kita pentingkan diri, tapi inilah yang dinamakan self-care.  Kita perlu jaga dan sayang diri kita. Ini penting buat surirumah supaya kekal sihat, bukan saja dari segi fizikal, tapi juga mental dan emosi.


Tanpa rehat yang cukup, ibu atau surirumah mudah tertekan. Kita mungkin jadi cepat marah, terlepas emosi pada anak, atau menyimpan perasaan hingga akhirnya membawa kepada masalah mental yang lebih serius. Bila diri terlalu penat, risiko untuk stres dan burnout sangat tinggi.


Di sini, saya ingin kongsikan beberapa cara mudah dan praktikal untuk suri rumah macam kita amalkan self-care, walaupun dalam kesibukan harian. 


1. Curi Masa Awal Pagi Untuk Bersendirian

Kalau boleh, cuba bangun 15–20 minit lebih awal dari anak-anak. Tak lama pun, tapi cukup untuk kita ‘ambil nafas’ sebelum hari bermula.Guna masa ini untuk buat benda yang tenangkan hati. Contohnya, mulakan dengan secawan kopi, buat journal, baca buku dan sebagainya.


Apabila dapat mulakan hari dengan tenang, emosi kita akan jadi lebih stabil. Bila anak meragam ke apa, kita pun dapat atasinya dengan tenang. Ibu yang sempat “isi tangki” emosi pagi-pagi, insyaAllah lebih sabar dan tenang sepanjang hari. 


2. Jangan Segan Minta Bantuan Bila Perlu

Kadang-kadang, kita dah terlalu biasa buat semua sendiri, sampaikan kita rasa susah nak buka mulut untuk minta bantuan. Kita berharap orang sekeliling akan faham sendiri yang kita penat, kita perlukan bantuan. Tapi hakikatnya, mereka tak akan tahu kalau kita tak bagitahu.


Jangan malu atau rasa bersalah minta bantuan dari suami, ahli keluarga, atau anak-anak yang dah boleh bantu sikit-sikit. Kita manusia biasa bukan robot yang boleh bekerja 24 jam tanpa henti dan penat. Bila ada sokongan, badan dan emosi kita pun lebih ringan. Minta tolong bukan bermaksud kita lemah. Tapi itu tanda kita sayang diri sendiri dan tahu bila perlu berhenti. 


3. Keluar Lihat Dunia, Hirup Udara Segar

Duduk terperap dalam rumah 24 jam boleh buat kepala rasa serabut tanpa kita sedar. Oleh itu, kita perlu ambil masa untuk keluar sekejap melihat dunia luar, lihat langit, hirup udara segar, pandang pokok-pokok hijau. Tak perlu lama pun, 5–10 minit dah cukup untuk bagi rasa lega dan tenang sikit.


Kadang-kadang, apa yang kita perlukan cuma suasana yang berbeza untuk reset semula fikiran yang penat. Ajaklah anak-anak sekali keluar ke taman permainan, jalan keliling taman waktu pagi, atau main depan rumah. Sambil tu, kita pun boleh dapat cahaya matahari pagi, sumber semula jadi vitamin D. Vitamin D ini penting tau. Bila badan kurang vitamin D, sistem imun pun boleh lemah dan risiko untuk rasa murung pun meningkat. Jadi, keluarlah sekejap pun dah cukup untuk bantu jaga kesihatan fizikal dan emosi kita.


4. Cari Masa Untuk Buat Perkara Yang Kita Suka

Surirumah ini jadualnya sentiasa padat menguruskan hal-hal rumah dan keluarga sampaikan terlupa tentang diri sendiri. Sampaikan kadang-kadang kita sendiri rasa diri kita yang lama telah hilang. Tak boleh dibiarkan begitu, kita pun perlu ada masa untuk hidupkan kembali hobi-hobi lama ataupun belajar sesuatu yang baru. 


Sememangnya, perlumbil masa sekejap setiap hari untuk buat sesuatu yang kita suka. Tak kisah sekadar 10 minit, tengok drama, tulis jurnal, edit gambar, layan pokok bunga atau buat DIY. Ini bukan membazir masa, tapi cara kita belajar isi semula tangki emosi. 


5. Bersosial dengan Kawan atau Ibu-Ibu Lain

Ambil masa untuk berbual dengan mak-mak yang faham situasi kita. Kadang kita rasa macam kita je yang penuh struggle, padahal ramai yang alami benda sama. Kita cuma tak tahu sebab kita pendam semuanya sendiri. 


Sekarang dunia dah moden. Kalau tak dapat jumpa depan-depan, kita masih boleh berhubung secara online, banyak group sokongan ibu-ibu di media sosial. Kat situ, kita bukan saja rasa didengar, tapi boleh belajar daripada pengalaman orang lain juga. Sertailah komuniti ibu-ibu yang positif, saling menyokong, tak menghakimi, dan buat kita rasa ‘normal’ walaupun realitinya hidup sebagai ibu ini bukan mudah.


6.  Belajar Sayang & Maafkan Diri Sendiri

Sayangi diri. Selalu hargai setiap usaha yang kita buat, walaupun kecil. Selalu cakap yang baik-baik pada diri. Bangga dengan pencapaian diri sendiri walaupun tak ada orang yang bangga dengan kita. Maafkan diri kalau ada hari yang tak berjalan seperti yang dirancang. 


Tidak mengapa kalau hari ini kita tak sempat lipat baju. Tak basuh pinggan lagi. Anak makan nasi goreng je. Atau kita naik suara sebab penat sangat. Kita manusia, emosi kita ada naik turun, dan itu sangat normal. Kita tak perlu terlalu fokus pada apa yang dah berlalu. Lebih penting untuk kita fokus pada bagaimana nak perbaiki diri untuk hari esok dan masa depan.


7. Dekatkan Diri dengan Allah & Selalu Bersyukur

Kadang-kadang, walaupun kita dah buat macam-macam, tetap juga rasa letih, kosong, atau sedih tanpa sebab. Mungkin itu tanda hati kita sedang rindu untuk ‘diisi’. Luangkan masa sekejap setiap hari tarik nafas dalam-dalam, berhenti seketika dari kesibukan dunia dan cari Allah.


Perbaiki hubungan kita dengan Allah, perlahan-lahan. Pada saya, surirumah sebenarnya antara orang yang paling banyak peluang untuk cari Allah kerana kita menghabiskan masa dirumah dan tidak terikat dengan kerja luar, jadi kita boleh isi ruang yang ada dengan sesuatu yang mendekatkan diri pada-Nya.


Jangan pernah berhenti bersyukur. Sebab bila hati penuh syukur, kita akan rasa lebih tenang dan sentiasa yakin bahawa Allah itu Maha Baik, nikmat Allah itu banyak walaupun hari kita tak sempurna.


------


Konklusinya, menjadi suri rumah memang bukan tugas yang mudah dan seringkali buat kita rasa penat dan terbeban. Tapi, sentiasalah ingat untuk menjaga dan sayang diri sendiri. Paling penting, jangan tinggal hubungan dengan Allah — dari situlah datangnya kekuatan sebenar. 

Post a Comment

0 Comments

We’d love to hear from you! Please drop your comment below, and keep it kind and respectful.🌹

Post a Comment (0)

#buttons=(Accepted !) #days=(20)

Our website uses cookies to enhance your experience. Check Out
Ok, Go it!